Sunday, January 23, 2011

Tahniah TLDM, syabas PASKAL

Lanun yang berjaya ditahan

Kecekapan anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbukti lagi, setelah tindakan pantas pasukan itu telah berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal, dua jam selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, kelmarin.

MT BUNGA LAUREL

Dalam kejadian jam 11.40 PM (waktu Malaysia) itu, MT Bunga Laurel disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dikatakan dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang tujuh lelaki bersenjatakan raifal AK-47 dan pistol yang menaiki sebuah bot laju.

senjata yang berjaya dirampas

Difahamkan, tujuh suspek itu sebahagian daripada 18 lanun yang merancang serangan itu dari sebuah kapal induk berlabuh tidak jauh dari tempat kejadian. Kejadian disedari anak kapal MT Bunga Laurel yang kemudian mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) sebelum berlindung dalam bilik keselamatan berhampiran bilik jentera kapal berkenaan.

Kejadian berlaku dua jam selepas MT Bunga Laurel berpisah daripada konvoi keselamatan kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Bunga Mas 5 yang terbabit dalam Ops Fajar bagi memberi perlindungan keselamatan kepada kapal dagang negara di perairan berisiko itu.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, Pasukan Khas Laut ATM diatur gerak untuk misi menyelamat menggunakan MV Bunga Mas 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian. Helikopter tempur, Fennec milik TLDM yang diberlepas dari MV Bunga Mas 5 turut digunakan dalam misi berisiko tinggi itu, khusus bagi tujuan pemantauan dan serangan udara.

MV BUNGA MAS LIMA

Tembakan dari helikopter telah berjaya menghalang kumpulan lanun di atas kapal induk mereka dari memberi bantuan kepada rakan mereka di atas kapal tangki yang dirampas. Ini memudahkan anggota PASKAL digerakkan ke atas MT Bunga Laurel. Selepas berbalas tembak, kapal tangki kita berjaya ditawan semula kira-kira jam 1.20 AM.

Difahamkan, tiga lanun yang berada di atas kapal tangki berkenaan cedera dalam kejadian itu dan diberi rawatan oleh pasukan terbabit sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Kejadian terbaru ini juga jelas menunjukkan ancaman lanun di Teluk Aden semakin serius dengan 32 kapal masih ditawan kumpulan lanun sehingga kini, yang kebanyakannya dalam proses rundingan untuk dibebaskan.

Teluk Aden yang berada diantara Somalia dan Yaman merupakan jalan utama yang menghubungkan Eropah dan Asia menggunkan kapal laut selain Terusan Suez.

Dua insiden lain yang mewarnai peristiwa rampasan kapal oleh lanun diteluk ini sepanjang 48 jam lalu adalah peristiwa penawanan semula Kapal Samho Jewelry oleh Kommando Tetera Laut Korea Selatan yg menyaksikan 8 lanun terbunuh serta rampasan kapal yang didaftarkan di Togo dalam pelayaran dari Singapura ke Yaman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...