Thursday, August 11, 2011

Kapal Auxiliary Bunga Emas Enam Dilancarkan


Kapal Auxilary TLDM Bunga Mas Enam (photos : TLDM)


MISC Berhad dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini telah melancarkan Kapal BUNGA MAS ENAM sebagai sebuah Kapal Auxiliary TLDM kedua bagi memperkukuhkan perjalanan Operasi FAJAR. Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di limbungan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), Pasir Gudang Johor dan dihadiri oleh Panglima Tentera Laut; YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MISC Berhad; YBhg Datuk Nasarudin Md Idris.


BUNGA MAS ENAM, sebuah kapal kontena bersaiz 699TEUs, merupakan kapal dagang kedua yang didaftarkan di Malaysia yang telah diubahsuai dan dilengkapi dengan peralatan keselamatan bertujuan melindungi dan mengiringi kapal-kapal MISC yang membawa kepentingan negara di Perairan Teluk Aden dan perairan sekitarnya. Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh MMHE (sebuah anak syarikat MISC) di limbungan kapalnya yang terletak di Pasir Gudang, Johor. Sebelum ini, BUNGA MAS LIMA, Kapal Auxiliary TLDM pertama telah dilancarkan pada 1 Jun 2009 dan kini sedang ditugaskan di perairan Teluk Aden untuk mengiringi kapal-kapal dagang milik MISC yang menggunakan laluan tersebut. Sejak pelancarannya, BUNGA MAS LIMA telah berjaya mengiringi sebanyak 172 kapal-kapal dagang MISC merentasi Teluk Aden dan kawasan perairan berhampiran.


Dengan adanya Kapal Auxiliary TLDM seperti BUNGA MAS LIMA dan BUNGA MAS ENAM ini, TLDM mampu melaksanakan pemantauan di luar lingkungan operasi beyond normal operating envelope secara optimum dan berhemah. Menerusi pengoperasian BUNGA MAS LIMA, TLDM telah berjaya menjimatkan kos operasi sebanyak RM 3 juta sebulan. Lebih signifikan lagi, perkongsian bijak antara TLDM dan MISC ini telah berjaya memberi perlindungan terhadap barangan dagangan negara yang bernilai berbillion ringgit yang melalui Perairan Teluk Aden. Projek BUNGA MAS LIMA juga telah berjaya menempatkan Angkatan Tentera Malaysia di tangga kedua dalam Pertandingan Anugerah Inovasi Perdana Menteri bagi tahun 2011.

Bunga Mas Enam sebelum diubahsuai


Perkongsian strategik antara TLDM dan MISC telah berjaya melahirkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Laut) atau PALAPES (L) di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) yang mempunyai kepakaran tertentu. Untuk rekod, pengambilan pertama PALAPES (L) ALAM yang dirasmikan pada tahun lalu mempunyai seramai 29 orang pegawai. Manakala terdapat 45 orang pegawai dan 43 orang lain-lain pangkat PSSTLDM yang berkepakaran perkapalan menerusi Operasi FAJAR. Bagi TLDM, Kapal AuxiliaryTLDM ini merupakan satu komponen penting di dalam merealisasikan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang terkandung di dalam Dasar Pertahanan Negara yang bertujuan untuk membuka peluang kepada lebih ramai sukarelawan yang berminat untuk mendalami ilmu kelautan, pertahanan dan keselamatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...