Thursday, August 27, 2009

Pengajaran dari Projek NGPV TLDM kepada 'MALAYSIA'(part 1)




MODEL NEW GENERATION PATROL VASSEL (NGPV) TLDM

Kisahnya bermuala apabila kontrak untuk membina enam buah kapal NGPV telah ditandatangani pada 13 Oktober 1998 dengan konsortium German naval Group telah memenangi tender bagi membina kapal-kapal tersebut dengan kerjasama firma tempatan PSC-Naval Dockyard. Kapal-kapal NGPV yang juga dikenali sebagai program kapal ronda generasi baru TLDM adalah merupakan kapal yang mempunyai rekabentuk yang berasaskan kepada rekabentuk kapal Blohm+Voss MEKO 100. Mengikut perjanjian, dua dari kapal pertama akan dibina di limbungan Blohm + Voss yang terletak di Hamburg, Jerman. Empat kapal berikutnya pula akan dibina di limbungan PSC-Naval Dockyard di Lumut. Ke enam-enam kapal ini sebenarnya adalah merupakan fasa pertama dari sejumlah 27 buah kapal ronda yang diperlukan oleh TLDM untuk terus beroperasi secara efektif bagi mengawal keselamatan dan kedaulatan kawasan perairan negara. Ini kritikal kerana kapal-kapal PV atau ‘Petrol Vessel’ milik TLDM ketika itu telahpun mencapai umur lebih 40 tahun dan walaupun masih mampu memberikan khidmat dalam rondaan pesisir pantai, namun mungkin dalam bentuk rondaan jarak dekat dan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang sahaja dan bukan bagi operasi bercorak ketenteraan. Ini adalah kerana saiz, rekabentuk dan sistem penderia serta persenjataannya sudah tidak lagi relevan kepada ancaman hari ini dan mendatang.

KD KEDAH (171)

Pada permulaannya program tersebut dianggap oleh banyak pihak sebagai antara program yang bakal mempertingkatkan kemampuan teknologi maritim ketenteraan negara, khususnya kepada forma PSC-Naval Dockyard yang merupakan kontrak utama untuk kesemua kapal-kapal NGPV tersebut. Keseluruhan kontrak dianggarkan bernilai RM5.6 billion dengan wang pendahuluan sehingga 20% didahulukan oleh pihak Kerajaan, iaitu dalam jumlah RM1.07 billion. Kontrak juga berkehendak bahawa jaminan alat ganti dan komponen perlu wujud selama dua tahun pertama dari pihak Jerman. Selepas tempoh tersebut, komponen dan alat-ganti ini bakal dikeluarkan oleh PSC-Naval Dockyard sendiri di Lumut. Kontrak juga berkehendakkan bahawa komponen tempatan bagi membina kapal tersebut mestilah tidak kurang dari 30%. Dengan jumlah kontrak yang berbillion ringgit, PSC-Naval Dockyard yang berada dibawah penguasaan Amin Shah yang pernah satu ketika dahulu mendapat nama jolokan ‘Onasis Malaysia’ dilihat bakal meletakkan nama Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar kapal-kapal perang yang berteknologi moden. Seterusnya memenuhi aspirasi negara untuk tidak terlalu bergantung kepada pihak luar dalam melengkapkan diri bagi pertahanan dan kedaulatan kawasan maritimnya.


KD PAHANG (172)

Harapan ini walau bagaimanapun hampir berkecai apabila PSC-Naval Dockyard gagal memenuhi kontrak untuk membekalkan kapal-kapal NGPV sepertimana yang tertera pada perjanjian. Dua kapal pertama yang dibina di Jerman dan dihantar ke negara ini menggunakan kapal pengangkut khas telah dinama dan dilancarkan pada 2003 dan 2004, namun selepas dari pelancaran kedua kapal tersebut, proses penyerahannya kepada TLDM mula berhadapan dengan masalah. Ini termasuklah kegagalannya untuk memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan dari sudut teknikal dan operasi. Mengikut kontrak, kesemua kapal tersebut perlu dihantar sebelum bulan April 2007 dan penghantaran pertama perlu dilakukan pada bulan Mac 2004. Penalti akan dikenakan sebanyak 0.5% dari nilai kontrak bagi setiap bulan jika berlaku kelewatan penghantaran. Bagaimana pun, atas dasar membantu kontraktor tempatan , nilai maksimum penalti kerana gagal memenuhi tempoh syarat penghantaran itu dihadkan hanya kepasa RM53.5 juta. Hanya pada bulan Jun 2006, barulah penghantaran pertama dibuat dan bulan berikutnya untuk penghantaran kedua kapal tersebut kepada pihak TLDM. Namum begitu, terdapat 100 laporan kerja tidak lengkap pada kapal yang pertama dan 383 pada kapal yang kedua pada masa ianya diterima. Juga terdapat 298 aduan khusus mengenai operasi bagi kedua-dua kapal tersebut. Ini menjadikan kedua kapal tidak menepati syarat spesifikasi teknikal yang ditetapkan TLDM dan ianya tidak dapat beroperasi pada tahap maksima dan lebih membimbangkan ia mampu membahayakan keselamatan dan nyawa krew yang mengoperasikan kapal-kapal tersebut.


KD PERAK (173)

Pembinaan kapal-kapal berikutnya juga menghadapi pelbagai masalah. Pada pertengahan tahun 2007, satu laporan yang amat kritikal mengenai program tersebut telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam atau PAC. Jawatankuasa tersebut dibawah Datuk Shahrir Abdul Samad telah membuat kesimpulan bahawa program tersebut perlu dibatalkan segera kerana kelewatan dan kegagalan membekalkan kapal ronda generasi baru kepada TLDM bakal mempunyai kesan negatif kepada kemampuan TLDM untuk menjamin keselamatan kawasan maritim negara. Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa kegagalan PSC-Naval Dockyard adalah ‘disebabkan sikap tamak pengurusan tertinggi syarikat tersebut’. Lebih mengecewakan pihak umum ialah didalam laporan menyebut, pada hujung tahun 2006, Kerajaan telah membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM4.26 Billion kepada kontraktor walaupun kerja yang baru disiapkan cuma bernilai RM2.87 Billion. PAC ‘merumuskan bahawa projek penswastaan limbungan dan kapal NGPV untuk TLDM oleh syarikat PSC-Naval Dockyard gagal.’ Kegagalan ini seakan mempunyai kesan yang teruk kepada Amin Shah dengan satu persatu firma yang dikaitkan dengan beliau mula mengalami perubahan yang menyaksikan kepentingannya diketepikan. Ini termasuklah dalam firma-firma seperti PSCI, Actacorp Holdings Bhd, Helmed Setron (Halifac Capital Bhd) serta Bolton. PSC- Naval Dockyard telah diberikan pengurusan dan nama baru, iaitu Boustead Naval Shipyard.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...