Thursday, August 20, 2009

Su-30MKM TUDM mula tunjuk taring!!!




Buat pertama kalinya pada 9 Julai yang lalu, dua buah pesawat Su-30MKM telah melakar sejarah apabila mempertontonkan kemampuannya untuk melaksanakan pengeboman menggunakan bom biasa tanpa kawalan (dumb bomb) terhadap kawasan sasaran menggunakan bom hakiki. Selain dari mempamerkan kemahiran tersebut ia turut mencipta rekod pengguguran bom paling banyak dari sebuah pesawat udara dalam satu penerbangan lintas atau ‘sortie’.



Pada pertunjukan kuasa tempur udara oleh pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini, jumlah bom paling banyak yang digugurkan dari sebuah pesawat sekali gus adalah enam butir, lazimnya oleh pesawat F/A-18D. Kali ini dua buah pesawat Su-30MKM telah menggugurkan 16 butir bom setiap sebuah. Bom-bom berupa ‘dumb bomb’ yang tidak mempunyai keupayaan kawalan penderia elektronik mahupun optik ini disasarkan terhadap sasaran terbuka di kawasan di lapang sasar Gemas, Negeri Sembilan dan turut disaksikan oleh DYMM Sultan Kedah.



Selain dari dua pesawat Sukhoi tersebut, empat pesawat Hawk turut mempamerkan aksi penembakan roket tanpa kawalan pada sasaran khusus. Sistem-sistem roket ini lazimnya akan dilepaskan terhadap sasaran seperti konvoi kenderaan armor dan kereta kebal musuh, memandangkan roket-roket yang digunakan adalah yang mempunyai kuasa robekan armor yang baik, selain dari kepelbagaian jenis kepala peledak yang mampu diguna pakai.

Sebelum pesawat Su-30MKM membuat pengeboman di lapang sasar, terlebih dahulu pesawat-pesawat Hawk telah melaksanakan penembakan roket udara ke permukaan menggunakan sistem jenis CRV7 dari pod pelancar LAU-5003 yang dipadankan dengan muncung AFF. Setiap pesawat memebawa dua pod roket LAU 5003 yang merupakan sejenis pod tembak buang (disposable).



Bom yang digugurkan oleh pesawat Su-30MKM adalah dari jenis OFAB-100-120. ia mempunyai diameter 273mm dengan panjang keseluruhan bom adalah 1,065mm manakala berat keseluuruhan bom pula adalah 123kg yang mana bahan letupan jenis XE yang dibawa bagi setiap bom adalah seberat 46kg. Secara amnya bom OFAB mempunyai bahagian kulit luaran yang lebih tebal untuk mempertingkatkan daya pemusnah yang diakibatkan oleh lebih banyak serpihan apabila ia meletup. Keseluruhan 18 butir bom OFAB-100-120 yang digugurkan di Lapang Sasar Gemas oleh hanya sebuah pesawat Su-30MKM pada hari tersebut merangkumi kawasan impak letupan dan serpihan seluas lima buah padang bolasepak!!



Selain mengugurkan bom, penonton pertunjukan kuasa udara juga telah buat pertama kalinya dapat melihat kedua-dua pesawat Su-30MKM dilengkapkan dengan pod penderia Damocles. Pod ini adalah merupakan pod penderia yang dipasangkan pada bahagian bawah badan atau sayap pesawat bagi tujuan penentuan sasaran yang mampu melaksanakan pelbagai jenis tugasan berkaitan dengan pengenalan, pengawasan dan panduan sistem penderia serta persenjataan terhadap sasaran yang mahu dimusnahkan dari sebuah pesawat udara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...